22 Ogos – Ramai yang beranggapan penyanyi dan pereka fesyen serta isteri David Beckham ini menyembunyikan diri dek kerana enggan kelihatan gemuk selepas melahirkan cahaya mata keempatnya, Harper Seven Beckham. Namun sangkaan mereka meleset apabila Victoria Beckham dikhabarkan sedang menderita sakit tulang belakang yang serius.
Sebelum ini ada khabar angin menyatakan Victoria bersembunyi kerana berusaha untuk menurunkan berat badan selepas kelahiran puteri sulungnya pada 11 Julai lalu. Mengukuhkan lagi dakwaan tersebut apabila kelibat Victoria jarang dilihat selepas bersalin, tidak seperti ketika dia melahirkan ketiga-tiga anak lelakinya, Victoria pasti dilihat bergaya bersama kasut tinggi dan gaun elegan.
Bagaimanapun, sumber terdekat pasangan Beckham ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan memberitahu bahawa Victoria menderita sakit punggung dan tulang belakang semasa hamil dan keadaannya bertambah serius selepas melahirkan Harper melalui pembedahan.
"Semua khabar angin dan dakwaan tersebut adalah tidak benar. Selepas pemeriksaan x-ray, didapati salah satu tulang belakang pada bahagian bawah Victoria bergesel sehingga menimbulkan kesakitan sekaligus menyukarkannya mendukung Harper," ujar sumber tersebut yang dipetik dari laman Splashnews.
"Victoria sedih dan terkilan kerana dia tidak dapat bermain dengan anaknya itu seperti biasa, bahkan untuk menyusukan Harper, dia terpaksa meminta bantuan suaminya untuk memegang bayi tersebut."
Menurut sumber itu lagi, walaupun menempuh saat-saat yang sukar, Victoria tetap gembira dan bersyukur dengan kelahiran puterinya yang sangat cantik. Victoria sedikit pun tidak menjadikan kesakitan yang dihadapinya itu sebagai penghalang kebahagiaan mereka sekeluarga.
Bagi memastikan dia segera pulih seperti sediakala, Victoria akan melakukan beberapa sesi urutan terapi selain pengambilan ubat tahan sakit secara teratur. Malah Victoria tidak dibenarkan memakan kasut tinggi yang sentiasa menjadi pilihannya itu.
Maklumat diperolehi dari : http://my.news.yahoo.com/victoria-beckham-derita-sakit-belakang-serius-085100955.html
No comments:
Post a Comment