Pages

Sunday, August 14, 2011

Penjawat awam Sabah tidak perlu risau mengenai pembayaran bonus: Cuepacs


KOTA KINABALU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) cawangan Sabah meminta penjawat awam di bawah kerajaan negeri tidak risau mengenai pembayaran bonus kepada kakitangan awam negeri.
Pengerusinya, Pengiran Anak Pengiran Mubin berkata, ini kerana kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman sememangnya prihatin terhadap kakitangan awam di negeri ini.
“Kita tidak ada keraguan terhadap pembayaran bonus ini, kerana percaya dan yakin terhadap kemampuan kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau (Musa) untuk memberikan bonus kepada kakitangan awam negeri,” katanya di sini, kelmarin.
Pada Isnin, Kerajaan Pusat bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
”Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.
Perdana Menteri berkata kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan para pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri.
”Ini menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan pesara kerajaan. Pemberian ini juga merupakan satu penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam,” kata Najib.
Pengiran Anak berkata, seperti sebelum ini, apabila kerajaan pusat mengumumkan pembayaran bonus kepada penjawat awam, Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Musa yang juga Menteri Kewangan akan mengikutinya dan tidak pernah gagal untuk membayar bonus.
Menurutnya, Sabah mempunyai saiz kakitangan awam yang besar iaitu lebih 25,000, ini termasuk badan-badan berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Sehubungan itu, Cuepacs Sabah berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diatas keprihatinan beliau kepada penjawat awam dengan pembayaran bonus RM500 dan bayaran khas RM500 kepada pesara kerajaan bagi meringankan beban untuk menyambut Hari Raya tidak lama lagi.
Pengiran Anak turut meminta penjawat awam di semua peringkat di negeri ini supaya membalas keprhatinan kerajaan itu dengan bekerja lebih keras dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka.
“Jangan kita mengabaikan tugas yang diamanahkan, kita perlu membantu kerajaan da- lam melaksanakan dasar dan program yang sedang dan akan dijalankan termasuk Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Kerajaan(GTP), Program Transformasi Ekonomi(ETP),’katanya.
Pada Selasa lima kerajaan negeri iaitu Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak dan Ne- geri Sembilan sudah pun mengumumkan keputusan mengikut langkah kerajaan pusat membayar bonus serupa dengan kerajaan Pusat.

No comments: