CANTIK dan penampilan menarik. Pendatang baru dalam bidang lakonan, Nur Anzalna Md Nasir atau Anzalna, 23, seharusnya lebih awal terjun dalam dunia seni bersama-sama rakan seangkatan Dewi Remaja 2010 iaitu juaranya Neelofa dan naib juara, Izara Aisha.
Mereka mula dikenali sewaktu sama-sama tersenarai sebagai peserta akhir pertandingan pencarian gadis jelita terbabit. Entah mengapa, selepas hampir setahun pertandingan itu berakhir, baru sekarang Anzalna mahu tampil dan mencuba bakat.
Sekiranya dia ‘terjun’ lebih awal dalam dunia lakonan, pasti namanya kini menjadi sebutan ramai seperti yang diperoleh Neelofa. Apakah yang menghalang Anzalna mengembangkan bakatnya?
Adakah kerana dia tidak bertuah seperti dua lagi rakan seangkatan yang banyak menerima tawaran sebaik pertandingan Dewi Remaja 2010 berakhir?
Gadis yang kini menetap di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur ini berkata, banyak tawaran diterima tetapi semuanya terpaksa ditolak. Bukan sebab dia tidak bersedia tetapi waktu itu ada halangan yang terpaksa membuatkan dia menolaknya.
“Sebenarnya, ketika itu kekasih saya tidak benarkan saya berlakon. Ketika itu saya terlalu mendengar kata-katanya. Mungkin dia dan saya waktu itu belum bersedia untuk berhadapan dugaan bakal dihadapi sekiranya saya bergelar anak seni.
“Bagaimanapun, saya cuba berbincang dengannya (kekasih) dan akhirnya dia mengalah,” katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Media Prima Berhad, baru-baru ini.
Setelah sekian lama menolak tawaran, akhirnya drama bersiri Suria Di Cardoba terbitan Global Station Sdn Bhd yang disiarkan di Astro, membuka jalan lebih luas buatnya sekali gus mengubah pendirian dan nasibnya.
“Tidak dinafikan kejayaan rakan seangkatan yang menyertai Dewi Remaja seperti Lofa dan Izara sedikit sebanyak membuatkan saya rasa cemburu. Peluang ada tetapi saya tidak rebut seperti mereka. Tapi akhirnya saya cuba dan kalau selepas ini gagal, saya sudah pun mencuba dan merasainya,” katanya.
Apabila ditanya bagaimana dengan keadaan sekarang selepas kekasihnya itu melihat sendiri aksi Anzalna di televisyen, gadis yang turut aktif memperaga ini diam seketika seperti mencari kata-kata sesuai untuk diutarakan.
Tanpa bersuara, dia hanya menggelengkan kepala. Apabila didesak mengapa, sambil tersenyum Anzalna menjelaskan bahawa dia dan kekasihnya itu sudah memutuskan hubungan. Antara mereka sudah tidak mempunyai apa-apa ikatan lagi.
“Dia sudah tidak wujud dalam hidup saya. Kini saya bebas sebab antara kami sudah tidak mempunyai sebarang ikatan,” katanya.
Apabila ditanya adakah perpisahan itu disebabkan keputusannya untuk menjadi pelakon, gadis berambut panjang paras pinggang dan bermata bundar ini hanya mampu tersenyum.
“Saya harus membuat keputusan demi kebaikan diri saya. Pilih salah satu dan saya memilih kerjaya. Sebagai seorang wanita, saya juga perlu melihat masa depan agar mampu berdiri di atas kaki sendiri.
“Saya tidak harapkan lelaki. Maksud saya bukan saya tidak perlukan lelaki dalam hidup tetapi biarlah dalam usia muda ini saya dahulukan diri saya dan kerjaya. Lelaki datang dan pergi. Saya kini sedang hidup sendiri,” katanya.
Timbul kemusykilan, masakan gadis secantik Anzalna tidak punya teman sekarang ini. Ibarat kata orang, sekali petik beribu yang datang mahu menjadi pengganti. Bila ditanya mengenai perkara itu, dia seperti biasa tersenyum dan hanya memberikan komen ringkas.
“Setakat kawan-kawan tu ramailah. Biarlah dulu saya tidak mahu terburu-buru. Memanglah ada yang baik dengan saya, tetapi tidak salah kalau kita berkawan saja dulu. Lihat keperibadiannya. Takut juga kalau pisang berbuah dua kali,” katanya lagi.
Bercerita lanjut mengenai dunia lakonan disertai kata Anzalna, dia melihat apa yang berlaku dari sudut positif. Walaupun dalam waktu sama sedar bahawa persaingan juga sangat banyak.
“Kalau orang kata saya cantik, saya percaya ada ramai lagi bakat seangkatan saya yang tidak kurang cantiknya. Tambahan pula mereka berbakat. Saya masih baru dan banyak perkara yang perlu saya pelajari.
“Begitupun, Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya. Selepas membintangi Suria Di Cardoba, saya ditawarkan membintangi Ramadan Terakhir. Telefilem itu mendapat maklum balas baik daripada penonton.
“Saya tidak pernah berdengki apabila melihat Lofa dan Izara terlebih dulu mencipta nama. Kalau cemburu pun dari sudut positif. Saya mahu berjaya seperti mereka. Saya tumpang bangga dengan mereka dan rezeki masing-masing sudah ditetapkan,” katanya.
Anzalna kini sedang mempersiapkan diri untuk membintangi satu filem baru. Bagaimanapun, ia terpaksa dirahsiakan dari pengetahuan umum sehinggalah tiba hari pelancarannya yang bakal berlangsung 10 Oktober nanti.
No comments:
Post a Comment