Pages

Friday, May 25, 2012

Yuna Kurangkan Kisah Cinta


MELIHATKAN gambar pelakon dan pengacara, Qushairi Mohammed Razali atau Qi di awal paparan klip video lagu Sparkle dendangan Yuna, cukup menjelaskan status hubungan mereka. Pun begitu, ia tidak bermaksud untuk Yuna mencanangkan kebahagiaannya kepada umum kerana perkara itu sudah lama diketahui.

Bagi penyanyi yang popular dengan lagu Terukir Di Bintang ini, cukuplah kisah percintaannya diperkatakan. Ujarnya, tidak perlu lagi diuar-uarkan lebih lanjut. Yuna memaklumkan untuk tahun pertama, dia tidak kisah untuk berkongsi apa saja bersama peminat tetapi sekarang sepatutnya dikurangkan. 

Yuna menyaksikan pelancaran klip video lagu terbarunya, Sparkle yang dirakamkan menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy Note.
“Saya tidak mahu kisah cinta ini terlalu digembar-gemburkan kerana takut nanti peminat bosan. Lagipun, buat masa ini kami berdua belum memikirkan untuk melangkah ke fasa seterusnya kerana kesibukan masing-masing. Sekarang terlalu banyak kerja perlu saya uruskan, begitu juga dengan dia.

“Apa yang boleh dikatakan, bagi perkembangan selanjutnya kami kena tunggu dulu sehingga semua urusan selesai. Namun, bila masanya itu tidak tahulah bila,” kata Yuna turut menjelaskan Qi sudah tahu dan OK saja gambarnya digunakan dalam klip video itu.

Terdahulu, Yuna hadir pada majlis pelancaran klip video terbarunya itu yang diilhamkan menerusi The Sparkle Project dengan menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy Note di ibu kota, kelmarin.

Yuna yang juga duta telefon pintar itu mengakui dia berpuas hati dengan rakaman dibuat dan berasa bangga kerana menjadi artis pertama yang dipilih menghasilkan klip video menggunakan telefon pintar.

“Pada mula dimaklumkan mengenai rakaman itu, saya terfikir juga sejauh mana hasilnya nanti. Boleh ke rakaman klip video terhasil dengan menggunakan telefon? Apapun, selepas terbabit menjayakannya dan melihat hasil rakaman itu, ternyata ia cukup mengagumkan dan saya menyukainya.

“Bahkan, saya menyifatkan ia adalah klip video terbaik pernah saya hasilkan dalam satu projek besar setakat ini. Saya sangat kagum walaupun proses rakaman berlangsung dalam tempoh satu hari. Malah, lebih daripada 10 rakaman dibuat dan syukur salah satu daripadanya adalah hasil terbaik.

Pada sesi sidang media itu juga, Yuna turut ditanya mengenai insiden keretanya dipecah masuk pada Khamis lalu yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM5,000 berikutan radio kereta dan gitar milik artis baru di bawah naungan syarikatnya, Diandra Arjunaidi turut dicuri.

Pun begitu, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai, 26, yang dihubungi wakil media pada hari kejadian bagi mendapatkan penjelasan kisah sebenar enggan mengulas.

Justeru, keengganannya menimbulkan dakwaan Yuna cuba mengelak daripada wakil media. Malah, turut dikhabarkan Yuna terkilan dengan laporan segelintir media berkaitan kejadian itu.

“Saya tiada niat mahu mengelakkan diri daripada wartawan. Namun, pada hari kejadian itu saya terlalu sibuk dan banyak urusan perlu diselesaikan. Ditambah lagi, saya juga terbabit menjayakan penggambaran iklan.

“Oleh itu, sebaik mendapat tahu kereta kena pecah, saya terus membuat laporan polis dan beberapa perkara lain. Jadi, apabila dihubungi wartawan, memang saya tidak berkesempatan memberi komen lanjut. Justeru, Wawa yang memberi komen bagi pihak saya dan diharapkan media tidak salah faham,” katanya.

Menyentuh dakwaan mengatakan Yuna tidak suka dengan laporan dibuat media, dia mengakuinya. Katanya, dia berasa terkilan kerana dalam laporan itu turut menulis jenis kereta dan lokasi kejadian iaitu di rumah Pa�n (pemain gitar kumpulan muziknya).

“Apabila tahu mengenai laporan itu, saya rasa agak sedih kerana kalau boleh tidak mahu kejadian itu dihebahkan oleh media. Ia berkaitan soal keselamatan dan saya bimbang bahaya kepada diri saya, keluarga dan sesiapa saja yang memandu kereta itu nanti,” katanya.

Ditanya mengapa pula dia menghebahkan kejadian itu di laman twitter miliknya jika tidak mahu kejadian itu menjadi perhatian, Yuna berkata dia tweet dengan niat mahu berkongsi kisah itu dengan peminatnya serta mengingatkan mereka supaya lebih berhati-hati.

Maklumat Diperolehi Dari:http://www.hmetro.com.my

“Ini kerana, kejadian curi seperti itu adalah biasa dan boleh berlaku kepada sesiapa saja,” kata Yuna turut meluahkan rasa syukur kerana pencuri itu tidak melarikan keretanya.

Sehubungan itu, hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Bahagian Telefon Mudah Alih Samsung Malaysia Electronics, Vincent Chong. Malah, turut disampaikan hadiah kepada pemenang bertuah yang menyertai The Sparkle Project dianjurkan Samsung.

No comments: