HANEZ...malu dikata perigi cari timba. |
KEBANYAKAN pelakon baru bimbang membawa watak jahat kerana risau dengan tanggapan penonton. Namun bagi bintang yang kini mencipta nama, Hanez Suraya Abd Aziz, 27, menjayakan watak antagonis membawa namanya pergi jauh dalam industri seni tempatan.
Mencuba nasib lebih lapan tahun dalam dunia lakonan, Hanez yang ditemui pada sesi fotografi khas bersama Selebriti Metro Ahad baru-baru ini mengakui, kebanyakan watak jahat yang dijayakan membuatkan kehadirannya dalam industri seni diberi perhatian.
Katanya, impak diterima sangat memberangsangkan kerana watak jahat lebih mudah diingati penonton, sekali gus memberi kelebihan untuk seseorang pelakon itu lebih dikenali.
“Syukur kerana sekarang ini tawaran untuk saya berlakon lebih banyak. Semuanya gara-gara watak jahat yang saya lakonkan dalam Bunga April dan Ariana Mikhail hinggakan saya tidak menang tangan memenuhi tawaran yang datang.
“Syukur kerana sekarang ini tawaran untuk saya berlakon lebih banyak. Semuanya gara-gara watak jahat yang saya lakonkan dalam Bunga April dan Ariana Mikhail hinggakan saya tidak menang tangan memenuhi tawaran yang datang.
“Sebagai contoh, sekarang saya sibuk menghabiskan penggambaran drama bersiri Suri yang bakal disiarkan di TV3, kemudian terbang ke Paris, Perancis bagi menghabiskan penggambaran drama bersiri, Dalam Hati Ada Taman untuk Astro Ria, Julai depan,” katanya.
Menurut Hanez, selain membuka rezeki, watak jahat diberikan turut memberi ruang lebih luas untuknya mengembangkan bakat.
Kini kebanyakan produksi mula meletak kepercayaan kepadanya untuk memegang peranan utama berbanding sebelum ini hanya menjadi pelakon pembantu dalam kebanyakan drama dibintangi.
“Kalau diikutkan, watak antagonis hanya menjadi penggerak kepada watak utama dalam menghidupkan jalan cerita. Walaupun begitu, kerana watak jahat, saya lebih diingati ramai.
“Selepas diuji dan yakin dengan kemampuan saya, sekarang kebanyakan produksi memberi peluang kepada saya melakonkan watak utama. Bukan itu saja, watak utama terbabit berbeza dengan watak antagonis yang sering saya bawakan sebelum ini, sekali gus memberi peluang untuk penonton melihat bakat lakonan saya dalam sisi berbeza,” katanya.
Bercerita lanjut, pelakon yang memulakan kerjaya menerusi filem Bicara Hati bergandingan dengan Fazura hampir tujuh tahu lalu, dia teruja apabila Cube Filem Sdn Bhd melamarnya untuk membintangi drama Dalam Hati Ada Taman bergandingan pelakon sinetron popular Indonesia, Randy Pangalila dan Elfira Loy.
Begitupun, timbul cerita apabila wataknya sebagai tunang Randy, Sofea dalam drama arahan Michael Ang itu memerlukan Hanez bermesra dengan Randy. Bukan itu saja, mereka turut melakukan aksi panas apabila ada babak cium turut dirakam.
Menjelaskan perkara itu, pelakon bertubuh lampai ini berkata, dia mengharapkan perkara itu tidak dijadikan isu sehingga boleh memberikan tanggapan tidak baik, sama ada buat dirinya mahupun Randy.
Lebih dibimbangkan adalah tanggapan diberikan peminat setia Randy terhadap dirinya membabitkan babak mesra dan cium bakal disaksikan penonton apabila disiarkan kelak.
“Sebelum ini, sewaktu telefilem Mimpi Sampai Ke Bintang disiarkan, saya nampak peminat setia Randy seperti tidak boleh menerima kemesraan ditonjolkan pelakon itu bersama Elfira, sedangkan ia hanya lakonan.
“Saya takut kena hentam seperti mana berlaku kepada Elfira. Waktu sama, saya mahu menjaga hati peminat saya yang mula menerima kehadiran saya,” katanya.
Tegas Hanez, babak cium itu sebenarnya hanya lakonan dan dibuat dengan menggunakan teknik lakonan dan kamera.
“Memang pengarah mahu menimbulkan persoalan apabila penonton menyaksikan drama bersiri itu nanti sama ada kami benar-benar bercium atau tidak. Begitupun, sebagai pelakon, saya menggunakan teknik supaya setiap babak dilakukan nampak hidup dan ia seperti benar-benar berlaku,” katanya.
Jelas Hanez, melakukan aksi romantis dan bercium bersama Randy, perasaan gementar tetap ada. Mujur keserasian yang wujud sebelum ini sewaktu membintangi Mimpi Sampai Ke Bintang membolehkan ia dilaksanakan dengan sempurna dan kedua-dua pelakon tidak berasa kekok.
“Sebenarnya saya kenal Randy ketika kami digandingkan dalam Mimpi Sampai Ke Bintang. Begitupun, waktu itu saya menjadi ibu tirinya yang jahat. Berbeza dengan Dalam Hati Ada Taman, sebanyak 13 episod saya menjadi tunang Randy.
“Memastikan setiap babak romantis menjadi, Michael memberi ruang kepada kami untuk membina keserasian. Saya mengambil inisiatif dengan selalu bercakap dan berbincang bagaimana hendak menjayakan babak itu,” katanya.
Serah pada Awi Rafael
Minggu lalu, gosip cinta membabitkan Hanez dan penyanyi juga komposer yang kini mencipta nama, Awi Rafael mendapat perhatian. Mereka turut diburu media bagi mendapatkan kesahihan cerita itu.
Bagaimanapun, dalam kenyataan yang diberi, mereka seakan-akan bermain tarik tali apabila enggan mengakui dilamun cinta.
Jika dianalisis kenyataan diberi, ternyata Hanez mahupun Awi dilihat seperti mahu berhati-hati dalam memberikan kenyataan. Begitupun, mereka tidak menafikan merasa bahagia dan selesa apabila di sisi.
Hanez secara jujur tidak menafikan dia bahagia sepanjang dua bulan mengenali penyanyi berasal dari Singapura itu. Apatah lagi baru-baru ini Awi turut membawanya bertemu ibunya.
“Memang kalau melihat situasi hubungan kami sudah jauh apabila saya bertemu ibu dan kakak Awi. Saya senang bersamanya setakat ini, cuma saya tidak mahu tergopoh-gopoh dalam memberikan kenyataan.
“Bukan mahu menyembunyikan hubungan kami, sebaliknya sebagai orang perempuan, tidak manis jika saya bercakap lebih mengenainya, sedangkan Awi hanya memberi kenyataan bahawa kami senang berkawan.
“Seorang perempuan harus menjaga maruah. Jika saya sering menjaja cerita mengatakan kami benar-benar bercinta tetapi apa yang berlaku sebaliknya, nanti saya juga yang akan dituduh tidak tahu malu dan bersikap perigi mencari timba,” katanya.
Disebabkan perkara itu juga, jelas Hanez, dia tidak mahu memberi banyak komen mengenai gosip disebarkan itu dan lebih selesa jika perkara itu dijawab Awi.
“Dalam soal hubungan, sebenarnya orang lelaki lebih berhak memberi pengesahan kerana kuasa membuat keputusan dalam memilih pasangan hidup ada pada tangan mereka.
Saya tidak mahu terlalu teruja mengenainya kerana bimbang akan melukakan hati sendiri.
“Perkara itu pernah berlaku kepada saya beberapa kali. Hari ini kata cinta, tetapi esok lusa lain jadinya. Perkara itu membuatkan saya takut untuk menyatakan kepada umum.
“Biarlah ada pengesahannya, baru saya berani tampil dan membuat kenyataan. Cara itu juga lebih baik untuk semua pihak kerana apa yang berlaku pada masa akan datang adalah ketentuan Tuhan,” katanya.
Maklumat Diperolehi: http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment