Pages

Tuesday, May 22, 2012

J-Lo Berhenti dari menjadi Juri



KEADAAN semasa menunjukkan, Jennifer Lopez (J-Lo) tidak akan lagi menjadi juri program realiti American Idol.
Menurut sumber, Penyanyi Love Don’t Cost A Thing itu menarik diri daripada program popular berkenaan kerana “jadual kerja yang padat.” 

Walaupun J-Lo mendakwa masih belum membuat keputusan muktamad, sumber yang dekat dengan penyanyi itu mengesahkan akan berlaku pengunduran mengejut.

“J-Lo terlalu sibuk,” katanya.

Selebriti berusia 42 tahun itu akan memulakan siri konsert jelajahnya bersama Enrique Iglesias pada musim panas ini di Amerika Selatan dan AS.

Tidak cukup dengan itu, dia juga merancang ke luar negara untuk mengadakan konsert di seluruh dunia pada musim luruh nanti.

Jika ia menjadi kenyataan, J-Lo akan sentiasa sibuk sehingga sekurang-kurangnya akhir tahun ini.

Menurut sumber, kesibukan itu menyukarkan J-Lo hadir menjadi juri ketika program American Idol berlangsung.

“Tambahan pula peringkat saringan berikutnya akan berlangsung ketika dia berada di luar negara,” katanya.

Menurut sumber itu, J-Lo berharap untuk melonggarkan sekatan jadual hariannya pada tahun depan.

Malah, katanya, janda Marc Anthony itu mungkin bercuti panjang untuk membolehkan dia meluangkan masa bersama anak kembarnya, Max dan Emme, 4, yang akan mula bersekolah tidak lama lagi.

Ketika tayangan perdana filem What to Expect When You’re Expecting baru-baru ini, J-Lo mengakui dia berdepan dilema antara kerjaya dan peranannya sebagai ibu.

“Ia mencabar.

“Kamu mengutamakan mereka, kemudian ada pelbagai perkara yang mesti dibuat dan ia juga memerlukan masa,” katanya.

J-Lo turut ada membayangkan kemungkinan akan meninggalkan American Idol ketika menjadi tetamu rancangan Ellen DeGeneres Show.

Kata J-Lo, dia memang gembira terbabit dalam siri realiti televisyen itu.

“Ini adalah musim kedua saya bersama American Idol. Saya tak pasti sama ada saya akan meneruskannya untuk musim ketiga.

“Saya rindukan beberapa perkara lain,” katanya.

Sementara itu, stesen yang menyiarkan American Idol, Fox Network, enggan memberi sebarang komen mengenai masa depan J-Lo dengan mereka.

Namun, penerbit eksekutif American Idol, Nigel Lythgoe berkata, dia terdesak mahu J-Lo kekal dengan mereka.

“Saya tahu bagaimana dia begitu gembira dengan Americal Idol, dan pada masa sama amat menyayangi anak-anaknya.

“J-Lo perlu menanggung beban sendirian dan menerima banyak tawaran,” katanya.

Menurut pemerhati, jika J-Lo meneruskan rancangannya meninggalkan American Idol, populariti siri itu mungkin terjejas.

Rating siri itu menurun dengan ketara tahun ini dan pegawai kanan syarikat penerbitannya mengakui ia perlu penstrukturan semula bagi mengatasi keadaan itu.

Menurut pemerhati, gaya kritikan amat keras Simon Cowell mungkin perlu dikaji semula, manakala juri lain - Randy Jackson, J-Lo dan bintang kumpulan Aerosmith, Steven Tyler - terlalu baik kepada peserta.



Maklumat Diperolehi Dari: http://www.hmetro.com.my

No comments: