TUTUP...mayat mangsa di tempat kejadian, semalam. Gambar kecil, Samsudin, maut. |
KAMPUNG GAJAH: “Arwah ayah gemar membawa cucu bersiar-siar terutama ketika cuti sekolah. Tak sangka kali ini yang terakhir buat mereka,” kata Mohd Tarmizi, 26, anak pasangan warga emas, Samsudin Itam, 65, dan Daimah Lun, 52, yang maut dalam kemalangan ngeri, petang semalam.
Tragedi itu turut meragut nyawa cucu pasangan warga emas berkenaan, Qurratul Ayuni Mohd Halimi, 6, apabila Proton Saga dinaiki bersama tiga yang lain bertembung sebuah treler ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pulau Tiga, Padang Gertak di sini, jam 4 petang.
REMUK...treler yang terbabit kemalangan, semalam. |
Dalam kejadian itu, kereta dipandu Samsudin hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sebelum bertembung treler tanpa muatan di laluan bertentangan menyebabkan kereta mangsa berpusing beberapa kali.
Kejadian turut mencederakan anak pasangan warga emas itu, Nurul Ayuni, 14, dan dua lagi cucu mereka, Mohammad Danial Halimi, 5, dan Nurul Izzati Mohd Rudy, 3. Mohd Tarmizi ketika ditemui di perkarangan Bilik Forensik, Hospital Changkat Melintang (HCM), di sini, semalam, berkata, arwah bapanya memaklumkan pergi ke Sungai Manik untuk mengambil Nurul Ayuni di Sekolah Menengah Agama Maahad Al-Islah, Sungai Lampam.
Menurutnya, arwah bapa dan ibunya membawa bersama tiga cucu mereka bagi mengambil Nurul Ayuni di sekolah berkenaan.
“Mereka keluar rumah jam 2.45 petang sebelum kami sekeluarga dikejutkan dengan nahas itu jam 4.30 petang.
“Kami tidak menyangka jarak nahas dengan rumah hanya beberapa kilometer. Sebaik tiba di tempat kejadian, saya rebah apabila melihat arwah ayah dan ibu kaku tidak bernyawa di tempat duduk depan kereta,” katanya.
Sementara itu, ibu arwah Qurratul Ayuni, Jawiriah, 31, berkata dia terkilan kerana anak sulungnya itu tidak sempat menjamah kuih pau yang dipesan.
Menurutnya, dia tiada di rumah sejak pagi kerana menjaga kakaknya yang menunggu masa bersalin di HCM.
“Saya sudah berpesan kepada kedua-dua anak, Qurratul Ayuni dan Mohd Danial supaya tinggal di rumah dan jangan keluar ke mana-mana sementara menunggu saya pulang dari hospital.
“Namun, mereka keluar rumah kerana mengikut arwah ayah dan ibu mengambil adik saya, Nurul Ayuni yang selesai menghadapi peperiksaan akhir tahun di sekolahnya,” katanya ketika ditemui di perkarangan HCM.
Jawiriah yang menetap di Pandan Perdana, Kuala Lumpur berkata, dia bersama dua anaknya itu pulang ke kampung sempena cuti sekolah bermula minggu lalu.
“Saya tidak menyangka percutian kami anak-beranak berakhir tragedi kerana anak perempuan saya yang keletah dan cerdik sudah meninggal dunia, manakala adiknya, Mohd Danial patah tulang bahu.
“Saya bersyukur kerana Mohd Danial terselamat dalam kejadian itu, namun reda dengan pemergian arwah Qurratul Ayuni,” katanya.
Maklumat diperolehi dari: http://www.hmetro.com.my
ercy berbicara; semoga arga Qurratul Ayuni bersama dengan mereka yang beriman.. Amin
1 comment:
innalillahhiwainnailaihirojiun.
Post a Comment