Pages

Tuesday, June 5, 2012

‘Bayi ajaib’ terselamat

REMUK...keadaan Perodua Kancil yang dinaiki bayi bersama bapanya serta  empat orang lain. Gambar kecil, bapa bayi dibawa ke hospital.
REMUK...keadaan Perodua Kancil yang dinaiki bayi bersama bapanya serta empat orang lain. Gambar kecil, bapa bayi dibawa ke hospital.

KOTA SAMARAHAN: Seorang bayi lelaki berusia enam bulan memeranjatkan orang ramai apabila hanya luka ringan walaupun tercampak keluar dari kereta Perodua Kancil yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di satu persimpangan berhampiran Desa Ilmu di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, ‘bayi ajaib’ itu menangis di atas jalan raya sebelum dibantu orang ramai dan segera dihantar ke klinik kesihatan berhampiran manakala bapanya tidak sedarkan diri akibat kemalangan itu.
Difahamkan, bayi berkenaan dipangku bapanya yang duduk di bahagian penumpang hadapan Perodua Kancil itu, tercampak keluar melalui tingkap yang terbuka ketika kenderaan dinaiki enam penumpang itu berpusing selepas dirempuh sebuah kereta.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Iswara yang dipandu laju, gagal berhenti untuk mengelak kereta yang dinaiki mangsa yang membuat pusingan U dari Kota Samarahan menuju ke Desa Ilmu.

Menurut sumber, perlanggaran kuat itu menyebabkan kereta Kancil berpusing dan bayi berkenaan tercampak keluar.

Maklumat Diperolehi Dari: http://www.hmetro.com.my

Fasha Sandha Persandingan Dalam Taman


Nur Fasha Sandha Hassan di lokasi persandingannya bersama lelaki yang berjaya menambat jiwanya, Rizal Ashram Ramli.
Nur Fasha Sandha Hassan di lokasi persandingannya bersama lelaki yang berjaya menambat jiwanya, Rizal Ashram Ramli.


MERENTASI ladang tebu saujana mata memandang di Padang Besar, Perlis dan kemudian melewati pemandangan indah di pekan kecil, begitu mengundang rasa damai pada setiap pengembara.

Memang betullah kata-kata pengantin perempuan, Nur Fasha Sandha Hassan bahawa kampung halamannya begitu cantik untuk dijadikan lokasi persandingannya bersama lelaki yang berjaya menambat jiwanya, Rizal Ashram Ramli.

Bukan enggan mengambil tahu atau mengendahkannya, namun menurut bintang filem berusia 28 tahun ini, Mama memang ingin mengaturkan persiapan majlis resepsi di Perlis itu kerana semata-mata ingin meraikan keluarga dan sanak-saudara.
Foto“Alhamdulillah semuanya sudah selamat dan berjalan lancar. Saya sangat seronok kerana akhirnya diraikan di kampung halaman sendiri. Rizal sendiri begitu seronok apabila berpeluang bertemu semua keluarga saya di sini. Ini semua adalah usaha Mama dari pemilihan lokasi hinggalah atur cara majlis,” katanya.

Tambah Fasha yang ‘bunting pelamin’, dia rasa amat bertuah kerana dikurniakan suami yang begitu menyayangi dan memahaminya.

“Pejam celik sudah lebih sebulan kami bersama sebagai suami isteri. Saya bersyukur kerana Rizal seorang yang matang dan tidak henti berada di belakang saya menerima baik dan buruk yang ada. Itulah sifatnya yang berjaya menarik perhatian saya,” katanya yang mengakui mengenali Rizal sejak lebih tujuh tahun lalu, namun mula berkawan rapat kira-kira dua tahun lalu.

Majlis persandingan Fasha pada petang Ahad lalu turut dihadiri tetamu kehormat seperti bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan beberapa orang kenamaan lain selain keluarga serta teman-teman yang sanggup datang jauh dari Kuala Lumpur.

Menjamu selera dengan menu masakan kampung yang lazat sambil memerhatikan kedua-dua mempelai makan beradab dan kemudian ke sesi memotong kek, majlis persandingan ini dianggap begitu indah.

Fasha dan Rizal tiba jam 2 petang diiringi rombongan kereta mini dan motosikal berkuasa tinggi. Selain disambut dengan paluan kompang dan tarian tradisional, pasangan pengantin turut dinantikan semua tetamu yang ingin merakamkan foto bersama.
  
Lantas petang Ahad lalu, berlatar belakangkan Tasik Timah Tasoh luas dengan persekitaran keliling banjaran bukit, Fasha dan suaminya, Rizal sekali lagi diraikan dalam majlis resepsi untuk sebelah keluarga perempuan dengan meriah.

Pasangan yang diijabkabulkan pada 27 April lalu dalam majlis pernikahan tertutup di Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur itu tampil dalam persalinan Melayu tradisional sentuhan pereka fesyen, Rizman Ruzaini di depan kira-kira 2,000 tetamu yang terdiri daripada kalangan keluarga, sahabat, teman media dan peminat daripada kelab We Love Fasha Sandha.

Ujar Fasha yang ditemui pada majlis persandingannya itu, segala perancangan dan persiapan untuk majlis ini disiapkan ibunya yang mesra disapa Mama saja.
FotoMenurut Rizal atau lebih dikenali sebagai Jejai, inilah pertama kali dia diraikan sebegitu gemilang oleh sanak-saudara Fasha selain bersanding di tengah taman rekreasi yang begitu cantik.

Menyifatkan majlis persandingan ini adalah simbolik bagi menghargai keluarga yang tidak henti mendoakan kebahagiaan, Rizal yang juga ahli perniagaan berusia 36 tahun bersyukur kerana bukan saja mereka berdua diraikan, sebaliknya kali ini pelamin yang tersergam indah itu turut meraikan kandungan Fasha yang kini berusia tiga minggu.

Menurutnya yang menghalang Fasha mengenakan kasut tumit tinggi bagi menjaga kandungan sulung ini, persandingan ini adalah cukup istimewa dan memberikannya pengalaman terindah.

“Kegembiraan saya apabila mendengar berita Fasha mengandung sudah tidak mampu saya terjemahkan dengan kata-kata. Lantas apabila kami diraikan sebegini meriah, saya merasakan ia adalah rezeki anak sulung kami berdua yang juga kami raikan sekali.

“Alhamdulillah rezeki buat kami datang awal dan ketika kami berada di atas pelamin, ia adalah erti kebahagiaan buat kami bertiga,” katanya yang bersyukur dengan berita isterinya hamil.

Menyentuh soal kerjayanya, Fasha yang juga pemenang enam kali pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 akui terpaksa mengurangkan aktiviti seninya atas nasihat suami yang lebih selesa jika dirinya berehat.

“Saya terpaksa menolak watak utama sebagai Serakit untuk sebuah drama bersiri tayangan TV3 kerana terlalu banyak babak aksi seram dan Rizal tidak mahu saya melakukannya kerana bimbang kesihatan anak dalam kandungan ini.

“Namun, Rizal tidak pernah menghalang kalau saya ingin kekal aktif asalkan tahu akan tanggungjawab dan komitmen sebagai isteri kepadanya. Namun, saya sendiri yang mengambil inisiatif untuk mengurangkannya kerana ingin meletakkan sepenuh fokus kepada keluarga.

“Insya-Allah saya akan kembali ke lokasi drama baru Julai ini,” katanya.

Rizal dan Fasha sebelum ini sempat meluangkan masa empat hari untuk berbulan madu di Pulau Redang, Terengganu. Persandingan meriah Fasha dan Rizal pada hari itu dikendalikan pengacara Wanita Hari Ini (WHI), Fiza.

Maklumat Diperolehi Dari:http://www.hmetro.com.my

Monday, June 4, 2012

Dalami ilmu filem di New York


Liyana Jasmay

SAAT ini lagunya hebat diputarkan di corong radio dan ramai yang menyangkakan Cinta Bersatu didekasikan khas oleh Liyana Jasmay, 24, buat tunangannya, Fathuddin Mazlan, 28, berdasarkan bait lirik romantis yang mengiringi melodi indah lagu hasil nukilan kumpulan Tilu itu.

Nyawa yang diberikan vokal Liyana Jasmay terasa hidup dan buat pertama kali mendengarnya pasti tidak menyangka ia dinyanyikan gadis mesra disapa Nana atau LJ itu. Terasa benar dia sedang dilamun asmara dan bahagia meniti hari bersama insan teristimewa.

“Ramai yang beri komen suara saya lain sedikit ketika menyanyi lagu itu jika hendak dibandingkan dengan Aku Tak Percaya Cinta. Entahlah, saya rasa sama saja.

“Tetapi saya tidak nafikan, ketika merakamkan lagu berkenaan, saya benar-benar dapat menghayatinya mungkin kerana lirik Cinta Bersatu itu kena dengan perasaan yang sedang saya alami.


“Seingat saya, saya meminta Tilu menghasilkan sebuah lagu single yang bersesuaian vokal dan muziknya haruslah sepadan dengan imej saya. Namun, saat mereka menyerahkan lagu itu ke tangan saya dan selepas mengamati liriknya, saya terasa yang lagu ini seperti kisah saya dan Fathuddin.

“Sebelum ini ramai yang menyangkakan Cinta Bersatu itu adalah luahan perasaan saya terhadap Fathuddin, sebenarnya ia hanyalah satu kebetulan.

“Saya juga sempat memperdengarkan lagu itu kepada Fathuddin sebelum ia dimainkan di radio. Tambah membuatkan saya terharu apabila dia menyukai lagu itu,” katanya yang semakin berseri-seri.

Atas sambutan baik yang diterima pendengar, LJ merancang untuk menghasilkan lebih banyak single, sekali gus muncul dengan album keduanya yang disifatkan lebih matang bukan saja dari segi vokal tetapi juga penampilan.

Tiada lagi imej penyanyi pujaannya, Arvil Lavigne, Liyana kini memilih imej yang menyerlahkan kewanitaannya lantaran usianya kini 24 tahun, selain status tunangan orang.

“Saya sudah tidak boleh membawa imej rock atau ‘funky’ seperti sebelum ini kerana Fathuddin pesan kepada saya, dia tidak mahu lihat saya berpakaian seperti budak-budak kerana saya bukan lagi anak kecil. Saya akan jadi isterinya dan mahu lihat saya sebagai orang wanita.

“Gaya ‘skirt’ pendek dan stoking juga sudah tidak boleh....hahaha! (ketawa).
Katanya, lebih cantik kalau berpakaian ringkas dan feminin. Jadi penampilan saya untuk album kedua nanti, ada sedikit perubahan dan kelainan,” katanya.

Baru saja menyelesaikan penggambaran filem Tokan arahan pengarah baru, Ghaz Abu Bakar, LJ kini dikhabarkan sibuk mempersiapkan diri menghadapi penggambaran filem Isyarat Cinta arahan Bade Hj Azmi termasuk Fiksi-Fixie.

Fiksi-Fixie adalah telefilem terbitan produksi miliknya sendiri, Mermaid Studios yang sebelum ini muncul dengan produk pertama, Tudung Tweet dan Paris Masuk Kampung.

Meskipun saat ini dia terlalu banyak urusan perlu di selesaikan, namun sukar untuknya menolak tawaran Bade kerana naskhah yang diberikan kepadanya kali ini amat menarik.

“Uncle Bade hubungi saya dan memaklumkan ada sebuah filem ingin dihasilkannya tahun ini dan watak utama itu dibuat khusus untuk saya. Menerusi filem Isyarat Cinta ini, saya akan memainkan watak gadis buta tetapi bukan sejak azali dan dia menjadi sebegitu kerana disebabkan satu kejadian.

“Watak seperti ini sudah lama saya nanti-nantikan kerana itu dalam banyak urusan yang belum selesai, saya paksa diri untuk melakukannya. Secara keseluruhan watak filem yang saya terima tahun ini memang bagus dan menarik.

“Filem Tokan misalnya, saya bawakan watak gadis yang membuat kajian mengenai isu penyalahgunaan dan pengedaran dadah. Dalam pembongkaran yang dilakukannya itu, tanpa disangka-sangka bapanya sendiri terbabit kegiatan haram itu,” katanya.

Kurang sebulan dari sekarang, dia akan meninggalkan negara ini bagi mengikuti kursus jangka pendek perfileman di New York, Amerika Syarikat.

Bermastautin selama enam bulan di sana ditemani ibu tersayang, Habsah Simpon, pemergian itu dengan rasa hati yang cukup berat.

Masakan tidak dihambat resah, apabila harus meninggalkan cinta hatinya, Fathuddin Mazlan sendirian di sini. Tambahan pula, dugaan orang bertunang datangnya dalam pelbagai cara.

Namun, gadis yang penuh dengan cita-cita dan impian sepertinya, Liyana mengakui dia harus cekal dan menolak perasaan lekas cemburu dan curiga.

“Kalau ikutkan kami memang jarang berjumpa kerana Fathuddin menetap di Sabah menguruskan perniagaan di sana selain saya sibuk dengan penggambaran. Tetapi paling lama tak jumpa pun dua minggu saja.

“Berpisah dalam tempoh berbulan-bulan belum pernah dan disebabkan itu, terkadang saya rasa berat hati. Tetapi saya tidak boleh mengetepikan masa depan hanya kerana perasaan yang sebenarnya kita sendiri boleh kendalikan dengan baik jika kita sedikit sabar dan percaya pada pasangan.

“Fathuddin sendiri memberi sokongan yang kuat untuk saya ke New York. Katanya, tidak perlu risaukan dia di sini dan minta saya jaga diri. Dia juga berjanji untuk menjenguk saya di sana nanti.

“Mujurlah saya tidak sendirian kerana Mama menemani. Kalau tidak tak tahulah macam mana. Tetapi saya pula kesiankan kakak dan abang saya termasuk ayah kerana mereka terpaksa berjauhan dengan mama. Saya harap mereka semua dapat sertai kami berdua dan menyambut Aidilfitri di New York nanti,” katanya.

Maklumat Diperolehi: http://www.hmetro.com.my